Wednesday, December 10, 2008

Immunoglobulin M



IgM ialah imunoglobulin pertama terhasil selepas pendedahan terhadap antigen. IgM adalah molekul pentamer iaitu ia terdiri dari 5 unit imunoglobulin yang setiap satu terdiri dari 2 rantai L dan 2 rantai H (mu).
Semua unit-unit ini digabungkan oleh ikatan dwisulfida pada bahagian Fc, dan satu polipeptid yang dipanggil rantai J
Kebanyakan IgM dalam serum wujud dalam ruang intravaskular. Kepekatannya dalam darah adalah kedua paling banyak selepas IgG. Separa hayatnya lebih kurang 5 hari.
IgM juga terdapat pada permukaan sel B limfosit (sel darah putih B)matang. IgM tidak melintasi plasenta tetapi ia merupakan antibodi pertama yang boleh dihasilkan oleh janin.
IgM adalah antibodi pengaglutinat (agglutination atau penggumpalan antigen partikulat (tak larut) seperti mikroorganisma) yang efisien kerana struktur pentamernya membolehkan pembentukan perhubungan dengan antigen dengan lebih berkesan.

Dalam darah isohemaglutinin, iaitu antibodi terhadap antigen ABO darah yang wujud secara semula jadi, terdiri dari IgM.
* A. Sistem ABO
Penjenisan darah diasaskan oleh Karl Landsteiner (1901) yang menunjukkan kehadiran antigen kumpulan darah (pada eritrosit) serta antibodi terhadap antigen-antigen ini dalam serum. Beliau mengambil darah dari kakitangan makmalnya dan mengasingkan serum dari darah setiap sampel. Serum dari setiap individu dicampurkan dengan eritrosit individu lain dan didapati sesetengah serum mengaglutinat eritrosit dari sesetengah individu lain. Landsteiner mengumpulkan mereka kepada beberapa kumpulan. Individu kumpulan A mempunyai antigen yang dipanggil A pada eritrosit mereka, dan antibodi terhadap antigen lain yang dipanggil B dalam serum. Individu kumpulan B mempunyai antigen B pada eritrosit dan antibodi anti-A dalam serum. Kumpulan O tidak mempunyai antigen A atau B pada eritrosit tetapi mempunyai kedua-dua anti-A dan anti-B dalam serum. Kumpulan AB mempunyai kedua-dua antigen A dan B pada eritrosit tetapi tiada anti-A atau anti-B dalam serum.
(Untuk lebih memahami sistem ABO ,sila klik gambarajah )
Antibodi anti-A dan anti-B yang wujud semula jadi dalam serum dipanggil isohemaglutinin dan akan mengaglutinat eritrosit yang mempunyai antigen A dan B masing-masing. Oleh itu, sebagai contoh, individu yang mempunyai darah jenis A mempunyai isohemaglutinin yang akan mengaglutinat eritrosit dari individu berdarah jenis B atau AB. Individu berdarah jenis AB tidak mempunyai isohemaglutinin terhadap antigen ABO, dan oleh itu boleh menerima sebarang jenis darah tetapi hanya boleh menderma darah kepada individu yang berdarah jenis AB. Mereka dikenali sebagai penerima umum (universal recipients). Mereka yang berdarah jenis O (penderma umum) boleh mendermakan darah kepada sebarang individu tetapi hanya boleh menerima darah jenis O kerana terdapat isohemaglutinin anti-A dan anti-B dalam serum mereka.

Struktur pentamer IgM juga menjadikannya amat efisien mengaktifkan pelengkap, tetapi ia kurang berkesan meneutralkan toksin.
*system pelengkap/complement system
Istilah "complement" (pelengkap) diperkenalkan oleh Paul Ehrlich untuk menerangkan aktiviti yang terdapat dalam serum yang boleh "melengkapkan" aktiviti antibodi spesifik melisiskan bakteria. Pelengkap terdiri dari tidak kurang dari 30 protein. Aktivitinya dimusnahkan dengan perlakuan haba 56oC selama 30 min. (perlakuan ini tidak memusnahkan aktiviti antibodi). Aktiviti-aktiviti yang diperantarakan oleh pelengkap termasuk pengopsoninan (opsonization), lisis, penarikan leukosit ke tapak keradangan (chemotactic attraction), pengaktifan leukosit dan pemprosesan kompleks imun.
Protein-protein pelengkap bertindak bersama dan berurutan: pergabungan satu protein akan membolehkan pergabungan protein berikutnya, dan berakhir dengan pembentukan kompleks serangan membran yang akan melisiskan sel sasaran.
Terdapat 3 tapak jalan pengaktifan pelengkap: Tapak jalan klasik (classical pathway) dicetuskan oleh kompleks imun yang terdiri dari antigen dan antibodi (lazimnya IgG atau IgM). Tapak jalan pilihan (alternative pathway) diaktifkan oleh bahan-bahan seperti polisakarida dan struktur polimer yang terdapat pada bakteria. Tapak jalan lektin (lectin pathway) merupakan tapak jalan pengaktifan yang terbaru ditemui dan mempunyai banyak persamaan dengan tapak jalan klasik

No comments: