Wednesday, December 10, 2008

Immunoglobulin A




( Rajah menunjukkan sintesis IgA dimer oleh sel plasma. IgA kemudian bergabung dengan reseptor poli-Ig yang mengangkut IgA melalui sel epitelium. Reseptor ini dipotong oleh enzim dan membentuk komponen rembesan.)

IgA ialah antibodi utama dalam rembesan luar seperti air liur, peluh, cecair usus dan perut, mukus serta air mata.
Selain itu ia juga antibodi utama dalam kolostrum dan susu. Oleh itu ia penting untuk membekalkan keimunan kepada neonat dan bayi.
Molekul IgA terdiri dari 2 rantai L dan 2 rantai H jenis alpha.
Secara keseluruhan IgA merupakan antibodi yang paling banyak dalam tubuh.
IgA dalam serum mempunyai separa hayat 5.5 hari dan wujud dalam bentuk monomer. Kebanyakan IgA terdapat dalam rembesan.
Dalam rembesan IgA wujud dalam bentuk dimer yang terdiri dari 2 molekul IgA yang dihubungkan oleh satu rantai J (sama seperti yang terdapat pada IgM pentamer) yang dihasilkan oleh sel plasma. Apabila IgA dimer dihasilkan oleh sel plasma ia bergabung dengan reseptor poli-Ig pada membran dasar sel epitelium berhampiran. Reseptor ini mengangkut molekul IgA melalui sel epitelium dan membebaskannya dalam cecair luar sel.
Oleh kerana ia wujud dalam rembesan IgA penting sebagai pertahanan imunologi utama terhadap infeksi pada saluran pernafasan dan gastrousus. Ini berlaku kerana keupayaannya menghalang perlekatan dan kemasukan organisma kepada permukaan epitelium. IgA tidak boleh mengaktifkan pelengkap tetapi mempunyai aktiviti bakterisid (membunuh bakteria) terhadap bakteria Gram negatif dalam kehadiran lisozim.

No comments: